PRN Sarawak boleh diadakan dengan dua syarat utama


  • Politik
  • Sabtu, 16 Okt 2021

WAN Junaidi Tuanku Jaafar yang juga Ahli Parlimen Santubong mengukur arah kiblat menggunakan alat pengukur khas pada majlis pecah tanah Masjid Mutiara Iman.

DUA perkara penting harus dilaksanakan sebelum membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 dapat diadakan.

Pertamanya, Proklamasi Darurat (Sarawak) yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sehingga 2 Februari 2022 disingkatkan, atas perkenan Seri Paduka jika diperlukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, persetujuan juga diperlukan daripada Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri.

"Kedua, PRN Sarawak boleh diadakan kalau Seri Paduka bersetuju dengan persetujuan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud bersama kerajaan negeri dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dicapai,” katanya.

Pada 31 Julai lalu, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) bermula 2 Ogos sehingga 2 Februari tahun depan.

Pengisytiharan ini sekali gus menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh itu ekoran wabak Covid-19 yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.

Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang dikeluarkan berikutan Proklamasi Darurat Sarawak itu menyatakan Seri Paduka boleh menamatkan proklamasi itu lebih awal selepas berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak. — Majoriti