PERIKATAN Nasional (PN) memiliki cara tersendiri untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Umno ambil keputusan untuk tidak bekerjasama.
Bagaimanapun, jika sebaliknyanya yang berlaku, PN akan membuat perbincangan diantara pemimpin tertinggi bagi membincangkan kesediaan Umno.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya menumpukan perhatian untuk memilih pemimpin berintegriti bagi mewakili rakyat negeri itu.
"Kita tidak mahu melihat pemimpin yang hanya pandai bercakap sehingga menyebabkan perpecahan. Kita mahu supaya pemimpin itu adalah seseorang yang sentiasa mahukan penyatuan dalam kalangan kita.
“Jadi rakyatlah yang akan tentukan masa depan. Kalau dia (Umno) tidak mahu, saya sebagai Setiausaha Agung PN akan melakukan mengikut strategi PN sendiri.
“Tapi kalau beliau juga mahu untuk duduk, saya pulangkan kepada pemimpin-pemimpin PN untuk duduk berbincangkan bagi menentukan masa depan rakyat terutamanya di Melaka," katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan yang Umno tidak akan ‘gopoh’ dalam menentukan kerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRN Melaka.
Ahmad menjelaskan yang Umno kini sedang mengumpulkan maklum balas daripada semua pihak termasuk pimpinan di peringkat bahagian sebelum diputuskan oleh pucuk pimpinan parti. — Sinar Harian