SEORANG lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta Honda City yang dinaiki mereka bertembung seekor gajah yang sedang melintas di KM70, Jalan Kota Tinggi-Mersing, Johor pada Sabtu.
Dalam kejadian sekitar jam 9 malam itu, semua mangsa yang merupakan ahli keluarga dalam perjalanan menuju ke bandar Kluang dari Felda Bukit Tongkat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pemandu, Ismail Daud, 37 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu kereta yang terhimpit mengalami kecederaan di kepala dan leher.
"Tiga penumpangnya yang cedera dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambahnya lagi, tiga mangsa yang cedera itu merupakan anak lelaki kepada Ismail yang berusia lima tahun, bapa mentuanya yang berusia 65 tahun serta biras lelaki berusia 30an.
Jelasnya, kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Pegawai Bomba Kanan I Abd Rahim Razali berkata, operasi menyelamat melibatkan lapan anggota dengan satu jentera.
Katanya, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan kira-kira jam 9.59 malam.
Jelasnya lagi, mayat Ismail diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi itu ditamatkan kira-kira jam 10.44 malam. — Majoriti