SEJUMLAH alat ganti kereta mewah dan pelbagai minuman keras bernilai kira-kira RM2.5 juta termasuk cukai telah dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.
Rampasan itu dilakukan dalam pemeriksaan ke atas dua treler di Johor Bharu, Johor pada 30 September dan 8 Oktober lepas.
Menurut Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad, rampasan pertama (30 September) dilakukan di Jalan Bertingkat Skudai, Kampung Pasir, pada 5.30 petang.
"Dalam pemeriksaan itu, kami merampas 9,364 alat ganti kereta yang diikrar dengan nilai dan kuantiti yang tidak benar serta mengelirukan, dipercayai mengelak daripada dikenakan cukai yang tinggi.
"Justeru itu, kita merampas alat ganti bernilai RM509,076 termasuk duti dan cukai itu serta treler bernilai RM80,000,” katanya.
Tambahnya, pemandu treler berusia 51 tahun itu kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 133 (1) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, menerusi pemeriksaan kedua (8 Oktober) dilakukan ke atas sebuah treler semi kargo di Plaza Tol Kempas (Arah Utara) pada 9 pagi, jelas Sazali, dalam serbuan itu pula JKDM merampas 17,000 botol minuman keras yang disembunyikan di ruangan kargo kenderaan terbabit.
"Treler itu dipandu seorang lelaki berusia 56 tahun dan dibantu seorang kelindan lelaki berusia 34 tahun.
"Hasil pemeriksaan mendapati minuman keras itu diikrar sebagai minuman ‘mineral nutrien mixture liquid’ dengan tujuan untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa," ujarnya.
Kongsi Sazali lagi, pihaknya berjaya memintas treler berkenaan ketika pemandunya selesai membayar tol.
Katanya lagi, kesemua minuman keras yang dipercayai diseludup dari negara jiran itu dianggarkan bernilai RM324,720 manakala duti serta cukai pula kira-kira RM1.7 juta.
Sazali berkata treler bernilai RM100,000 itu turut disita manakala pemandu serta kelindannya ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.— Bernama