Peguam Suu Kyi dilarang bercakap


  • Benua
  • Jumaat, 15 Okt 2021

MAUNG Zaw diugut dengan seksyen 144 kod prosedur jenayah Myanmar, yang digunakan untuk mengeluarkan arahan larangan bercakap. — Agensi

BUKAN sahaja dilarang bercakap dengan wartawan, malah ketua peguam pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi pada Jumaat memaklumkan, junta turut tidak membenarkannya untuk berhubung dengan diplomat atau pertubuhan antarabangsa.

U Khin Maung Zaw berkata, larangan bercakap itu dibuat selepas beliau menyampaikan keterangan bagi pihak presiden digulingkan, Win Myint.

Dalam keterangan itu, Win Myint menjelaskan bagaimana beliau menolak tawaran junta tentera supaya berundur bagi menyelamatkan dirinya ketika rampasan kuasa 1 Februari lalu.

Suu Kyi, yang didakwa atas pelbagai tuduhan bermula dari hasutan sehingga dakwaan melanggar sekatan Covid-19, dijangka berdepan hukuman penjara yang panjang jika disabitkan kesalahan.

Namun, media dilarang menghadiri prosiding perbicaraan itu, dengan pasukan undang-undang Suu Kyi, menjadi sumber utama maklumat berkaitan perjalanan prosiding.

"Baiklah, mereka menutup mulut saya dengan 144," kata Maung Zaw di laman Facebooknya.

Angka itu merujuk kepada seksyen 144 kod prosedur jenayah Myanmar, yang digunakan untuk mengeluarkan arahan larangan bercakap.

Peguam itu turut berkongsi gambar dokumen perintah itu, yang ditandatangani seorang pegawai kanan di bandar Pyinmana, sebahagian ibu kota Naypyidaw, selepas beliau didapati bercakap dengan media.

"Komunikasi ini mengganggu atau membahayakan beberapa orang yang bertindak selaras dengan undang-undang dan ia boleh mengakibatkan kegusaran masyarakat.

"Mulai 14 Oktober, peguam, U Khin Maung Zaw dilarang berkomunikasi, bertemu dan berbicara dengan media, baik asing atau tempatan.

"Beliau juga dilarang bercakap dengan diplomat asing, pertubuhan antarabangsa dan wakil pemerintah asing atau pertubuhan lain di luar secara langsung atau tidak langsung," menurut perintah itu.

Rampasan kuasa pada Februari lalu menggugat demokrasi di Myanmar, dengan rampasan kuasa oleh junta mencetuskan tunjuk perasaan yang meluas diikuti tindakan keras mereka sehingga menyebabkan hampir 1,200 orang awam maut.

Suu Kyi, 76, yang menjadi ancaman pihak juta selama ini, dijadual memberi keterangan di mahkamah pada akhir bulan ini. — Agensi

Myanmar, peguam, Suu Kyi