11 remaja lemas di Indonesia


  • Benua
  • Sabtu, 16 Okt 2021

PASUKAN mencari dan menyelamat melakukan usaha pencarian mangsa yang lemas di Ciamis, Jawa Barat, Indonesia pada Jumaat. — AP
SERAMAI 11 orang pelajar lemas manakala dua lagi berada dalam keadaan kritikal susulan berlakunya kemalangan ketika menjalankan aktiviti 'trekking' di Jawa Barat, Indonesia pada Jumaat.

Insiden berkenaan berlaku ketika kira-kira 150 orang ahli sebuah kumpulan pengakap berusia antara 13 hingga 15 sedang berjalan di sepanjang Sungai Cileuleur, Ciamis, Jawa Barat apabila 21 daripada mereka cuba menyeberangi sungai tersebut.

Menurut pegawai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tempatan, Supriono, penduduk setempat berjaya menyelamatkan 10 mangsa terbabit.

"Dua pelajar berada dalam keadaan kritikal di hospital manakala 11 lagi ditemukan maut," katanya.

Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kejadian selain memastikan tiada ahli kumpulan pengakap berkenaan yang masih hilang.

Kesemua mereka dikatakan melakukan aktiviti 'trekking' dan membersihkan tebing sungai itu meskipun agensi mitigasi bencana nasional mengeluarkan amaran rasmi.

Aktiviti 'trekking' di sekitar kawasan sungai adalah dilarang bagi kanak-kanak dan remaja ketika musim hujang yang dijangka bermula hujung November.

Pada Februari tahun lalu, seramai 10 pengakap terkorban selepas dihanyuatkan arus deras banjir yang turut menyebabkan hampir 20 orang cedera. — AFP

Indonesia, SAR, pengakap, trekking, Bandung