Operator umrah ternanti nasib jemaah vaksin Sinovac


  • Massa
  • Ahad, 17 Okt 2021

KERAJAAN membenarkan ibadah umrah dijalankan oleh rakyat negara ini bermula Isnin. — AFP
KEBANYAKAN penerima vaksin Sinovac yang ingin mengerjakan umrah terpaksa menangguhkan dahulu perancangan mereka kerana masih menunggu garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) lengkap daripada kerajaan.

Ujar Ketua Pegawai Jualan EMRAZ Travel & Tours Sdn Bhd, Shahrul Izuan Shafie, pihaknya sedang cuba memperjuangkan isu berkenaan kerana menerima banyak permintaan daripada penerima Sinovac untuk mengerjakan umrah.

"Hampir 80 peratus penerima vaksin datang kepada kami dan bertanyakan pakej umrah. Kami terpaksa tunggu keputusan kerajaan kerana Sinovac melibatkan pencampuran vaksin.

"Setakat ini hanya penerima vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca di Malaysia sahaja dibenarkan untuk mengerjakan umrah," katanya kepada Majoriti.

Tambah Shahrul Izuan, beliau berharap agar kerajaan Arab Saudi dapat mengawal penularan Covid-19 di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dengan sebaiknya supaya ibadah umrah dapat diteruskan dalam keadaan normal pada masa akan datang.

"Saya juga berharap supaya Arab Saudi dapat melonggarkan SOP seperti membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun mengerjakan umrah kerana hanya mereka berumur 18 tahun sahaja dibenarkan pada masa ini untuk melakukan ibadah itu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan kebenaran mengerjakan umrah tanpa memerlukan MyTravelPass bermula Isnin kelak.

Menurut Shahrul Izuan, beliau menarik nafas lega berhubung pengumuman berkenaan selepas hampir dua tahun tidak menjalankan operasi pelancongan umrah.

"Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac 2020, EMRAZ tidak pernah menutup operasi malahan kami menukar model perniagaan dengan menubuhkan beberapa anak syarikat dalam sektor penghantaran barangan, pengimportan kurma dari Madinah, Arab Saudi serta melakukan program aqiqah dan korban," jelasnya.