Kos minimum pakej umrah naik, kini RM6,900


  • Primer
  • Ahad, 17 Okt 2021

MOTAC menasihatkan bakal jemaah supaya mengambil langkah berhati-hati jika mendapati harga ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi. .— The Star

HARGA lantai ibadah umrah adalah RM6,900 bagi tempoh 12 hari dan 10 malam, kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menurut kementerian, kadar harga baharu itu selepas mengambil kira perkembangan semasa.

"Kadar kos umrah itu dicapai hasil perbincangan dengan persatuan khidmat pelancongan dan umrah, baru-baru ini.

"Persetujuan itu dilakukan susulan berlaku peningkatan kos berikutan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di pihak Arab Saudi dan Malaysia," katanya.

Tambahnya lagi, antara faktor yang mempengaruhi peningkatan kos adalah bilangan kapasiti di dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50 peratus dari jumlah kapasiti sebenar, pengurusan mutawif serta ujian calitan Covid-19.

MOTAC berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Jelasnya lagi, harga lantai tersebut akan disemak semula apabila wabak Covid-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal selain kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan Malaysia dan Arab Saudi.

'Harga lantai itu adalah panduan bagi pihak kementerian melaksanakan pemantauan terhadap industri umrah.

"Orang ramai boleh menjadikannya sebagai panduan dalam membuat pertimbangan untuk memilih syarikat mana yang sesuai dengan bajet mereka," ujarnya.

Kali terakhir, kadar harga lantai kos ibadah umrah ditetapkan ialah pada tahun 2016 iaitu pada paras harga RM4,900.

Jelasnya lagi, kementerian menasihatkan bakal jemaah supaya mengambil langkah berhati-hati jika mendapati harga ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi daripada yang ditetapkan bagi mengelak kes penipuan.

Katanya lagi, orang ramai boleh menghubungi pejabat MOTAC negeri atau melayari laman web rasmi kementerian bagi mengenal pasti syarikat yang dilesenkan.

"Bagi menangani kes penipuan pakej umrah, kementerian mewajibkan syarikat yang dilesenkan perlu memohon kebenaran bagi mengiklankan promosi umrah.

"Ia selaras dengan Peraturan 6(1A)(a), Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) iaitu pengendali pelancongan berlesen tidak boleh mengiklankan pakej yang ditawarkan tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan," hurai kementerian itu lagi.

MOTAC turut menjelaskan, pihaknya juga mengadakan sesi libat urus bersama persatuan dan ejen-ejen untuk membantu kementerian merangka serta memperhalusi isu pengiklanan umrah ini.

Antara yang terlibat, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA).

"Berdasarkan sesi libat urus yang dijalankan, persatuan terbabit memahami dan menyokong inisiatif dilaksanakan MOTAC demi memelihara kepentingan Keluarga Malaysia dan juga pemain industri umrah itu sendiri.

"Sehingga kini, kementerian menerima 31 permohonan iklan. Setiap iklan yang diluluskan akan diberikan nombor siri khas iklan umrah yang perlu dipaparkan di iklan yang akan dipromosi sekali gus membantu kementerian mengenalpasti iklan haram pakej umrah," katanya lagi.

MOTAC mengesahkan sebanyak 444 syarikat pengendali umrah berlesen berdaftar dengan kementerian itu.— Majoriti

MOTAC, umrah, harga lantai, kos, Arab Saudi, Covid-19