MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan pelbagai kesulitan menanti golongan yang enggan menerima suntikan vaksin.
Pendekatan tegas itu itu akan diambil oleh kerajaan namun sebaliknya buat mereka yang terpaksa menolak atas dasar kesihatan dan mereka akan diberi pengecualian digital menerusi aplikasi My Sejahtera.
"Maaf saya katakan, kalau anda tidak mahu menerima vaksin atas pilihan sendiri, jadi kita akan buatkan hidup anda sukar dan ia akan berterusan begitu.
"Tidak boleh makan di restoran, tidak boleh ke pusat beli-belah dan kita juga akan keluarkan Strategi Ujian Nasional minggu depan.
“Ada kemungkinan mereka (yang enggan mengambil vaksin) akan diminta membuat ujian mengikut kekerapan tertentu yang biayanya perlu ditanggung sendiri.
“Pesanan ini adalah untuk meminta supaya anda mengambil vaksin,” katanya.
Berhubung dos penggalak, Khairy berkata, mereka yang memerlukan suntikan itu bagi memenuhi sebarang syarat ditetapkan negara tertentu seperti memasuki Arab Saudi bagi urusan umrah boleh membuat permohonan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi MySejahtera.
Dos penggalak itu dijangka mula diberikan bulan ini.
Bagaimanapun, Khairy menegaskan yang pihaknya sedang berusaha untuk berbincang dengan negara berkaitan supaya tidak mengenakan amalan diskriminasi vaksin.
"Tidak perlulah pengunjung dari Malaysia mengambil vaksin sekali lagi untuk ke UK (United Kingdom) tanpa kuarantin.. anggaplah semua vaksin, sekurang-kurangnya yang disenarai sebagai penggunaan di masa kecemasan di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah sama.
"Macam UK, mereka sedang menimbangkan permohonan kita, diharapkan mereka akan bersetuju dan sama juga dengan Arab Saudi.
“Tapi apa pun kita akan berikan dos penggalak itu namun penyelesaian yang mudah dan lebih baik adalah agar tiada diskriminasi dari segi jenama vaksin,” katanya. — Majoriti