Penganggur mengaku bersalah cuba rogol warga emas


TERTUDUH tiak diberi sebarang ikat jamin kerana bimbang mangsa mengalami trauma dan gangguan. — Sinar Harian

SEORANG lelaki warga Thailand berusia 38 tahun bakal berdepan hukuman penjara dan sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen Pasir Mas, Kelantan pada Khamis atas pertuduhan cubaan merogol seorang warga emas.

Dalam kejadian yang berlaku pada 23 Febuari 2021, tertuduh seorang penganggur, didakwa melakukan cubaan merogol di kawasan kebun getah di Kampung Limau Purut, Tanah Merah pada jam 9 pagi.

Tertuduh mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdi.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar itu tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Ini berikutan bimbang mangsa yang juga jiran tertuduh mengalami trauma dan gangguan.

Semasa ditanya tentang fakta kes, tertuduh mengaku melakukan perkara tersebut selain memberitahu mahkamah yang dia berada dalam keadaan mabuk semasa kejadian itu.

Tertuduh berdepan hukuman di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kes disebut semula pada 27 September 2021. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Rogol, warga emas, penganggur, pasir mas