Penuhi tuntutan Kertas Pandora atau PH tarik diri MoU dengan kerajaan


  • Politik
  • Rabu, 06 Okt 2021

HASSAN Karim memberi amaran bahawa PH akan tarik balik kerjasama dengan kerajaan jika enggan tunaikan tiga tuntutan berkaitan Kertas Pandora. — Bernama.

SEKIRANYA tiga tuntutan berkaitan Pandora Papers atau Kertas Pandora tidak dipenuhi, Pakatan Harapan (PH) akan menarik diri daripada Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai dengan kerajaan Persekutuan, kata Hassan Abdul Karim.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, tiga tuntutan itu antaranya membenarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membahaskan usul pendedahan Kertas Pandora di Parlimen.

"Pendedahan Pandora Papers tentang berbilion ringgit disimpan secara rahsia di British Virgin Islands dan lain-lain pusat kewangan luar pesisir oleh 1,500 rakyat Malaysia termasuk tokoh-tokoh politik dan korporat serta anak dan isteri mereka yang dianggarkan RM1.8 trilion dari tahun 2004 hingga 2014 perlu dibahaskan.

"Justeru Parlimen perlu membenarkan Anwar membahaskan pendedahan itu. Kedua, Suruhanjaya Penyiasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu tersebut perlu dibentuk," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Hassan berkata, tuntutan ketiga pula menggesa agar tindakan segera diambil dengan menggunakan kuasa perundangan negara ke atas wang dan modal yang tersimpan di dalam akaun-akaun rahsia tersebut.

"Menerusi perundangan, wang dan modal rakyat Malaysia yang tersimpan dalam akaun-akaun rahsia yang menyalahi undang-undang itu perlu dirampas dan dikembalikan kepada kerajaan Malaysia," katanya.

Pada 13 September lalu, sejarah baharu politik negara tercipta apabila buat pertama kalinya kerajaan Persekutuan dan PH memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang dimeterai di Bangunan Parlimen itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Ia ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua parti dalam PH, iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu serta Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. —Majoriti

Parlimen, Kertas Pandora, MoU