Menteri Indonesia terbabit skandal Kertas Pandora


  • Benua
  • Khamis, 07 Okt 2021

Kertas Pandora ditiriskan dari sumber yang tidak dinamakan dan dikongsi dengan lebih 600 wartawan di 117 negara. — AFP
DUA menteri Indonesia didakwa antara individu yang terbabit dalam 'skandal' dokumen kewangan, Kertas Pandora.

Menurut dokumen berkenaan, kedua-dua menteri itu menubuhkan syarikat di luar negara bagi menyembunyikan kekayaan mereka.

Dua menteri terbabit adalah Menteri Koordinasi Pelaburan dan Hal Ehwal Maritim, Luhut Pandjaitan serta Menteri Koordinasi Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto.

Kedua-duanya merupakan pelanggan syarikat perkhidmatan kewangan, Trident Trust, yang memiliki pejabat di negara bebas cukai seperti British Virgin Islands dan Panama.

Airlangga didakwa memiliki dua syarikat di British Virgin Islands yang diuruskan Trident Trust iaitu Buckley Development Corporation, ditubuhkan pada 2010 dan Smart Property Holdings Limited pada 2012.

Dokumen terbabit turut mendedahkan Airlangga menyatakan tujuan pelaburan dan pengurusan dana insurans serta amanah itu adalah untuk menubuhkan syarikat tersebut.

Bagaimanapun, Airlangga menafikan dakwaan tersebut dan tidak mengetahui tentang kewujudan syarikat terbabit.

Sementara itu, Luhut pula didakwa memegang jawatan Pengarah Presiden di syarikat minyak dan gas, Petrocapital SA yang berpangkalan di Panama antara 2007 dan 2010.

Jurucakapnya, Jodi Mahardi, bagaimanapun mendakwa Luhut sudah meletak jawatan dalam firma terbabit pada 2010.

Dua menteri terbabit adalah antara 330 ahli politik dan pegawai kerajaan dari 90 negara yang terpalit dalam skandal Kertas Pandora.

Pandora Papers mendedahkan senarai nama pelanggan dan maklumat peribadi 14 firma kewangan yang menguruskan syarikat luar pesisir di negara bebas cukai. — Agensi