Rakyat Malaysia lebih percaya guru berbanding menteri, ahli politik — Kajian


  • Politik
  • Sabtu, 16 Okt 2021

Tidak jauh beza di peringkat global, profesion sebagai ahli politik juga berada di kedudukan paling bawah.

KAJIAN Trust in Professions mendedahkan ahli politik dan menteri mempunyai margin kepercayaan terendah dalam kalangan rakyat Malaysia dengan hanya 19 peratus.

Manakala hanya 24 peratus penduduk yang menganggap ahli politik dan menteri boleh dipercayai.

Kajian yang dijalankan firma penyelidikan pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos) itu membabitkan 19,570 responden dari 28 buah negara bermula pada 23 April hingga 7 Mei lalu.

Ipsos

Hasil kajian IPSOS terhadap profesion yang boleh dipercayai.

Tidak jauh beza di peringkat global, profesion sebagai ahli politik juga berada di kedudukan paling bawah apabila hanya memperoleh kepercayaan antara tiga hingga 19 peratus sahaja diikuti menteri dengan peratusan antara lima hingga 25 peratus.

Bagaimanapun, kajian turut mendedahkan rakyat Malaysia lebih cenderung mempercayai profesion kedoktoran dengan 68 peratus iaitu nilai kebolehpercayaan tertinggi diikuti guru dengan 65 peratus.

Selain itu, ahli sains turut memperoleh nilai kebolehpercayaan 57 peratus, angkatan tentera (52 peratus), hakim (49 peratus), pembaca berita (42 peratus), polis dan peguam masing-masing 40 peratus serta wartawan (32 peratus). — Majoriti