Umno lucut keahlian Idris Haron, Nor Azman


  • Politik
  • Jumaat, 15 Okt 2021

AHMAD Maslan menjelaskan keputusan itu dibuat pada mesyuarat MKT pada malam Khamis.

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengesahkan pengguguran nama Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan sebagai ahli parti itu.

Keputusan itu dibuat selepas kedua-duanya terbabit dalam krisis politik yang berlaku di Melaka.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketetapan itu dibuat pada mesyuarat MKT pada malam Khamis.

“MKT juga membincangkan persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Adalah diarahkan agar jentera parti di setiap peringkat membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi PRN ini dengan menuruti SOP yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Idris dan Nor Azman terbabit dengan kemelut yang melanda Melaka dengan menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Dua lagi yang bertindak bersama Idris dan Nor Azman adalah Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dan wakil bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Pada 5 Oktober lalu, Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka dibubarkan dan pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, MKT juga menyokong keputusan kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mencari punca sebenar kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

“MKT juga menyokong keputusan kerajaan untuk menyemak semula berkaitan Pulau Batu Puteh dan siasatan mengenai dakwaan terhadap bekas Peguam Negara,” katanya. — Majoriti