Melaka River Cruise terima 10,000 pengunjung dalam tempoh 14 hari


  • Bizz
  • Sabtu, 16 Okt 2021

Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) berharap penularan Covid-19 dapat terus dikawal bagi meneruskan kelangsungan pelancongan di Melaka

SEJAJAR dengan peralihan Melaka ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) 1 Oktober lalu, sektor ekonomi pelancongan negeri itu mula menunjukkan petanda positif.

Hanya dalam tempoh 14 hari selepas sektor pelancongan negeri itu dibuka kepada pelancong tempatan, Melaka River Cruise (MRC) sudah pun menerima kira-kira 10,000 pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata, catatan itu menunjukkan tanda positif bagi mencapai sasaran 200,000 pengunjung sepanjang 2021.

"Pada Khamis (14 Oktober), sebanyak 1,400 pengunjung direkodkan menaiki MRC dan jumlah itu dijangka meningkat pada hujung minggu, lebih-lebih apabila rentas negeri dibenarkan.

"Kita tidak menyasarkan jumlah pengunjung yang tinggi pada tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya kerana masih di peringkat pemulihan.

“Kita berharap rantaian penularan Covid-19 dapat dikawal agar operasi MRC dapat diteruskan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perancangan yang sudah pun tergendala, semuanya akan dilaksanakan secara berperingkat bagi merancakkan pembangunan MRC dan meningkatkan kehadiran pelancong.

"Pengunjung boleh menaiki MRC untuk ke destinasi pilihan mereka di 14 stesen terlibat seperti Kampung Morten, The Shore, Kampung Hulu dan Kampung Jawa menggunakan 'one day access ticket'.

"Secara keseluruhan sebanyak 28 pit stop akan dibina di sepanjang Sungai Melaka membabitkan projek fasa satu dan dua secara berperingkat," katanya.

Tiket pakej pit stop untuk pelancong tempatan dijual pada harga RM25 bagi kanak-kanak, dewasa (RM40), warga emas dan pelajar (RM30) manakala tiket bagi pelancong asing dewasa dan kanak-kanak masing-masing berharga RM50 dan RM40.

Teksi air atau 'bot loncat-loncat' juga akan diperkenalkan untuk menjadikan Sungai Melaka sebagai salah satu medium sistem pengangkutan air sekali gus diangkat sebagai ikon pelancongan negeri dan negara. — Bernama