Md Nor lepas jawatan Pengerusi Tabung Haji


  • Bizz
  • Jumaat, 15 Okt 2021

MENURUT TH, jumlah deposit pada 30 Jun lepas ialah RM81.14 bilion, iaitu tahap tertinggi sejak TH ditubuhkan 58 tahun yang lalu.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengumumkan Tan Sri Md Nor Yusof telah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi TH berkuat kuasa pada Jumaat.

TH dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan sepanjang menjawat jawatan itu, Md Nor telah memacu usaha-usaha penyusunan semula, perkukuhkan tadbir urus serta kedudukan kewangan TH sebagai organisasi Islam yang bertanggungjawab menguruskan simpanan umat Islam untuk melaksanakan rukun Islam kelima.

Menurut TH, jumlah deposit pada 30 Jun lepas ialah RM81.14 bilion, iaitu tahap tertinggi sejak TH ditubuhkan 58 tahun yang lalu, sekali gus mencerminkan tahap kepercayaan dan keyakinan yang lebih tinggi daripada pendeposit.

"Para anggota lembaga, pengurusan kanan dan semua warga kerja TH mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau (Md Nor) yang sentiasa memberi komitmen yang tinggi sepanjang tiga tahun perkhidmatannya di TH,” menurut kenyataan itu.

Md Nor, 74, dilantik sebagai Pengerusi TH pada 13 Julai 2018 menggantikan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang berkhidmat sebagai Pengerusi TH dari 1 Julai 2013 sehingga akhir Mei 2018.

Akauntan Bertauliah ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan daripada Universiti Otago, New Zealand, pernah berkhidmat lebih 19 tahun dengan Kumpulan CIMB sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Commerce (M) Berhad.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad (KHAZANAH) dan Pengerusi Malaysia Airlines Berhad. — Majoriti