MESKIPUN musim tengkujuh bakal tiba serta tempoh ombak ‘bertenang’ hanya berbaki sebulan lebih, pengusaha bot dan resort di pulau peranginan di sekitar Terengganu tetap bersemangat untuk melakukan pelbagai persediaan bagi menyambut kedatangan ramai pelancong.
Ini susulan pembukaan sempadan negeri yang dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.
Pengusaha bot Mazlan Ismail, 52, berkata, beliau akan melakukan proses sanitasi yang lebih kerap bagi menjamin kesihatan penumpang dan berharap semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama apabila berlaku kesesakan yang tidak dijangka.
"Adakala tidak terkawal, apatah lagi ramai orang yang hendak cepat ke pulau setelah lalui perjalanan jauh. Mereka akan mula bersesak dan tidak dinafikan sesetengahnya tidak mahu bekerjasama. Sebab itulah kawalan bukan sahaja melibatkan SOP tetapi juga kesediaan pelancong untuk bersabar dan mengikut apa yang telah ditetapkan di jeti serta di atas bot,” katanya.
Pulau-pulau di Terengganu kebiasaannya akan ditutup bermula November hingga Februari demi keselamatan susulan musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut.
Sementara itu, Pasar Payang yang pastinya menjadi tumpuan penggemar kain batik, sutera dan keropok lekor juga dijangka menerima jumlah kedatangan pelancong luar biasa.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusoff, 58, berkata, peniaga di situ telah melakukan pelbagai persiapan terutama daripada aspek keselamatan bagi mengelak penularan Covid-19 malah kira-kira 90 peratus daripada 1,800 peniaga di situ telah lengkap suntikan vaksin manakala selebihnya sedang menunggu untuk mendapatkan dos kedua pada bulan ini.
Pihak persatuan turut bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi mengetatkan kawalan dengan menambah jumlah anggota penguat kuasa bagi memastikan SOP benar-benar dipatuhi.
"Ini kerana ada juga yang ‘culas’ dan mengambil mudah soal keselamatan dengan mengelak mengikut SOP ditetapkan," katanya.
Selain itu, Pengurus Besar Taman Tamadun Islam Management Sdn Bhd, Ahmad Bukhori Ghazali berkata, kesemua 144 kakitangan di pusat pelancongan itu telah selesai menerima vaksin Covid-19.
"Bagi menyambut kedatangan pelancong, kita juga telah memulakan proses sanitasi, penandaan jarak di kaunter pertanyaan dan pembelian tiket serta menyediakan cecair pencuci tangan pembasmi kuman di lokasi tumpuan.
"Selain itu, kita juga menawarkan harga istimewa iaitu hanya RM10 untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dan warga emas berusia 60 tahun ke atas manakala RM15 untuk tiket dewasa," katanya.
Taman monumen yang dibina pada 2005 itu menempatkan 23 monumen Islam dari pelbagai negara seperti Kota Alhambra di Sepanyol, Masjid Qairawan di Tunisia, Masjid Sultan Suleyman di Turki, Taj Mahal di India, Masjid Xi’an di China, Masjid Samara di Iraq, Kubah As Sakhrah di Palestin, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Arab Saudi, Masjid Kudus Minar di Indonesia, Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddin di Brunei dan Masjid Sultan Singapura.
Malah, bagi memudahkan tugas pihak berkuasa, pihak persatuan juga telah melakukan pemeriksaan bagi memastikan semua peniaga menyediakan pendaftaran aplikasi MySejahtera di setiap premis masing-masing.
"Kita juga tempatkan petugas khas di dua pintu masuk untuk pastikan setiap peniaga dan pengunjung yang masuk mengambil suhu badan secara betul dan mengimbas MySejahtera. — Bernama