Bekalan air Lembah Klang pulih sepenuhnya malam ini


  • Primer
  • Sabtu, 16 Okt 2021

Gangguan bekalan air itu disebabkan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di LRA SSP1. — Bernama
SETAKAT jam 6 pagi Sabtu, 998 kawasan di Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor mencapai tahap 98 peratus pemulihan bekalan air, kata Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri.

Menurutnya, enam wilayah iaitu Hulu Selangor, Kuala Langat, Shah Alam, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak sudah mencapai tahap pemulihan 100 peratus manakala tahap pemulihan di dua kawasaan iaitu Kuala Lumpur kini mencapai 95.5 peratus dan Klang, 89.4 peratus.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Gangguan bekalan air itu disebabkan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor fasa 1 (LRA SSP1) yang dimulakan pada 9 pagi, 13 Oktober dan dijangka pulih sepenuhnya pada 9 malam ini.

Pada masa sama, Elina berkata, pihaknya berharap para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau mengajukan sebarang pertanyaan dan aduan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. — Majoriti

Air Selangor, pemulihan, air, loji, lembah klang