Pemulihan bekalan air Lembah Klang capai 85 peratus


  • Primer
  • Jumaat, 15 Okt 2021

SEBANYAK 998 lokasi di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air bermula 13 hingga 16 Oktober. — Bernama
PEMULIHAN bekalan air di kawasan Lembah Klang yang terjejas mencapai tahap 85 peratus setakat 6 petang pada Jumaat.

Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan tiga wilayah iaitu Hulu Selangor, Kuala Langat dan Shah Alam sudah mencapai tahap pemulihan 100 peratus.

"Tahap pemulihan di lima wilayah pula iaitu Kuala Selangor ialah 99.4 peratus, Petaling (98.9), Gombak (85), Kuala Lumpur (70.5) dan Klang (50.4),” menurut Air Selangor.

Tambah kenyataan berkenaan, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Air Selangor berharap para pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

Terdahulu, Air Selangor memaklumkan gangguan bekalan air berjadual berlaku di 998 kawasan di lapan wilayah pada 13 hingga 16 Oktober disebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) akan dihenti tugas untuk memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal. — Majoriti