'Belum sempat tadah, tekanan air sudah perlahan'


  • Massa
  • Khamis, 14 Okt 2021

LORI tangki dilihat beratur untuk menunggu giliran mengisi air di Taman Gemilang, Dengkil gara-gara gangguan bekalan air sehingga Sabtu. — Bernama

BELUM sempat tadah, tekanan air sudah perlahan. Itulah dakwaan beberapa penduduk di Lembah Klang yang mendakwa gangguan bekalan air berjadual yang sepatutnya berlaku pada Rabu, dilaksanakan lebih awal tidak seperti yang dimaklumkan kepada mereka.

Penduduk yang terjejas mendakwa, hal itu sekali gus menyukarkan mereka membuat persediaan menyimpan air bagi menghadapi gangguan bekalan air selama empat hari sehingga Sabtu.

Seorang penduduk di Bandar Utama, Victor Cheong, 50, mendakwa, tekanan air di kawasannya didapati rendah pada Selasa iaitu, kira-kira 12 jam sebelum gangguan bermula.

"Saya mahu simpan air pada malam sebelum gangguan bermula memandangkan keluarga saya masing-masing sibuk dengan urusan kerja.

"Bagaimanapun, kami tidak dapat berbuat demikian kerana air daripada paip sudah tidak keluar. Kami hanya bergantung kepada bekalan yang tinggal dan tangki air," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Kuala Selangor, Marwati Hasyim, 33, dia turut berdepan masalah sama kerana air di kawasannya mulai perlahan pada pukul 8 malam.

"Kami sekeluarga sempat tadah air bagi kegunaan di bilik mandi dan mahu tunggu sehingga malam untuk simpan sebagai air minuman.

"Disebabkan gangguan berlaku lebih awal, kami terpaksa ke kedai untuk beli air minuman dalam botol," katanya.

Nasib berbeza bagi seorang penduduk di Taman Desa Jaya, Kepong dikenali sebagai Segar yang mendakwa tekanan air di rumahnya menjadi perlahan pada Selasa meskipun kawasan perumahannya tidak disenaraikan sebagai lokasi terjejas.

"Yang tersenarai adalah Taman Ehsan iaitu kawasan perumahan bersebelahan kawasan rumah saya.

"Kejadian sama pernah berlaku sebelum ini. Kalau Taman Ehsan kena, kawasan rumah saya akan turut terjejas," katanya.

Dalam pada itu, Air Selangor dalam satu kenyataan berkata, gangguan bekalan air di Lembah Klang itu berlaku mengikut jadual yang diuar-uar pihaknya. — The Star