Bekalan air pulih 28 peratus


  • Primer
  • Jumaat, 15 Okt 2021

AIR Selangor berharap pengguna dapat menggunakan air dengan penuh berhemah.

KADAR pemulihan air di semua 998 kawasan yang terjejas di sekitar Lembah Klang kini sudah pun mencapai 28 peratus.

Pemulihan itu membabitkan lapan wilayah dan catatan itu direkodkan setakat 6 pagi pada Jumaat.

"Lima daripada lapan wilayah di sekitar Lembah Klang sudah mencatatkan peratusan pemulihan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Daripada catatan pemulihan itu, Kuala Selangor merekodkan pemulihan tertinggi dengan 75.6 peratus diikuti Hulu Selangor (60.7 peratus), Petaling (60.4 peratus), Shah Alam (40.4 peratus) dan Klang (0.9 peratus).

Manakala tiga lagi wilayah, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat masih belum mencatatkan pemulihan.

Air Selangor juga berharap pengguna sudah pun mendapatkan bekalan dan menggunakan air dengan penuh berhemah.

Pengguna boleh merujuk di semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Selain itu, senarai senarai kawasan yang pulih boleh dilihat menerusi laman pautan hentitugas.airselangor.com.

Sebelum ini, Air Selangor menjangkakan 998 kawasan di Selangor mengalami gangguan air berjadual bermula Rabu hingga Sabtu.

Gangguan itu disebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dihenti tugas untuk memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal.

Antara kawasan disenarai terjejas berikutan gangguan bekalan air ialah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor. — Majoriti

bekalan air, gangguan air, Air selangor