'Mesyuarat Exco Melaka berjalan seperti biasa'


  • Politik
  • Khamis, 14 Okt 2021

SULAIMAN berkata, sebagai Ketua Menteri dan Exco, belia membantu dalam apa juga cara agar kerajaan sementara terus berfungsi dengan baik. — Bernama
WALAUPUN pengurusan dan pentadbiran terhad, Mesyuarat Exco Kerajaan negeri Melaka yang berlangsung pada Rabu di Seri Negeri berjalan lancar seperti biasa di bawah kerajaan sementara , kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

"Ada yang boleh dan tidak boleh. Jadi, bagi memastikan kerajaan di bawah SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) Datuk Kamel Mohamad, saya sebagai Ketua Menteri dan Exco yang ada sudah tentu membantu dalam apa juga cara agar kerajaan sementara ini terus berfungsi dengan baik.

"Ini terutama aktiviti berkaitan bantuan kepada rakyat dan pekerjaan yang sepatutnya berjalan seperti biasa, dipantau seperti kebiasaannya," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2025 (OSHMP25) serta perasmian Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2021 peringkat negeri Melaka, pada Rabu.

Mesyuarat Exco berlangsung Rabu adalah yang pertama dipengerusikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri kerajaan sementara sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Dalam pada itu Sulaiman berkata, Melaka pada minggu ketiga bulan Oktober ini dijangka beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Melaka sepatutnya boleh bersama dengan Pahang untuk beralih ke Fasa Empat namun keadaan kes yang turun naik menyebabkan kita tangguhkan dahulu. Keputusan peralihan fasa akan ditentukan pada minggu hadapan," katanya. — Bernama