'Susah mahu perbaiki Umno'


  • Politik
  • Khamis, 14 Okt 2021

TENGKU Razaleigh memberitahu Umno sudah melalui pelbagai perubahan tetapi masih tidak menunjukkan hasil yang positif. — The Star

UMNO kini merupakan sebuah parti yang tidak boleh diselamatkan lagi, kata pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurut beliau hal ini berikutan parti yang disertainya sejak puluhan tahun itu dikuasai oleh pemimpin-pemimpin berpengaruh dan politik wang.

"Oleh yang demikian, Umno sukar untuk parti itu berubah buat masa ini.

"Kalaulah dalam Umno itu sendiri tidak begitu menyenangkan, tak mungkin diyakini boleh bersatu balik dan menjadi gagah kuat seperti dulu," katanya.

Tambahnya lagi, pelbagai perkara yang tidak sepatutya telah terjadi ekoran masyarakat mudah mendengar kata-kata orang yang berpangkat, berjawatan dan berduit tanpa soal, meskipun pandangan mereka lain dengan apa yang diharapkan.

Katanya lagi, Umno sudah melalui pelbagai perubahan, tetapi nampaknya perubahan itu masih tidak menunjukkan hasil yang positif

Jelasnya Umno kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sejak itu susah nak kembalikan parti kepada kedudukan lama.

"Banyak rakan-rakan parti yang sudah keluar dari Barisan Nasional (BN) dan kedudukan menjadi berbeza berbanding dulu, kepimpinan baru pun ada cara barunya.

“Itu sebab saya berundur sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, bukan kerana saya tak nak kekal dalam parti, tetapi, ada yang memberi harapan, mengapa tidak cuba aktifkan parti lama," ujarnya.

Jelasnya lagi, Umno seharusnya bersihkan parti supaya menajadi wadah yang diterima oleh masyarakat, namun mahu perbaiki Umno Baru adalah sesuatu yang agak mustahil.

Sementara itu, Razaleigh turut menyatakan kebimbangan terhadap masa depan Umno pasca PRU-15.

Kataya, setiap pemimpin Umno mempunyai pengaruh dengan menggunakan wang, oleh itu susah untuk parti melangkah ke depan.

"Satu tindakan akan membawa kepada 10 tindakan susulan dan akhirnya tidak akan memberi faedah kepada bangsa kita.

“Saya boleh berunding (dengan kepimpinan) tapi adakan daya, pemimpin sekarang masih berkuasa ke atas parti sedia ada, kita hanya boleh ucap selamat dan berdoa agar dipulangkan kedudukan asal selepas PRU-15," jelasnya.

Hurainya lagi beliau cukup bimbang andai tiada lagi muka Melayu sebaik sahaja selesai PRU-15 jika orang Melayu tidak dapat diyakini dalam Umno sendiri.

Beliau berpendapat perubahan minda dalam kalangan orang Melayu perlu dilakukan segera supaya tidak lagi memandang tinggi kepada individu berjawatan tinggi dan mempunyai wang yang banyak.

“Kalau ada perkara yang tak betul, kita kena perbetulkan, tegur orang atas, tak boleh terima, walhal kita tahu benda itu tak betul dan salah. Mesti tegur, jangan sampai jadi bubur baru nak tegur.

“Jangan pandang tinggi kepada orang pangkat dan berharta, tak mestinya apa yang mereka buat itu betul, ada yang buat silap, ada yang buat cadangan yang merugikan, patutnya kita bantah.

Katanya lagi masyarakat perlu ubah persesi dan tidak boleh menerima cadangan orang berkuasa dan berpengaruh bulat-bulat.— Majoriti

Tengku Razaleigh, Umno, PRU15, parti, BN