Sindiket rokok seludup tumpas, 388 karton rokok dirampas


  • 112
  • Jumaat, 15 Okt 2021

DIMIN Awang berkata, turut dirampas adalah sebuah kereta Proton Wira yang dipercayai digunakan bagi aktiviti mengedar rokok.

POLIS berjaya merampas 388 karton rokok tidak bercukai bernilai kira-kira RM80,587.80, sekali gus menumpaskan sindiket pengedaran di sekitar Parit Raja dan Batu Pahat.

Rampasan itu dilakukan susulan tertangkapnya seorang warga tempatan berusia 59 tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Supt Dimin Awang berkata, turut dirampas adalah sebuah kereta Proton Wira yang dipercayai digunakan bagi aktiviti mengedar rokok.

"Turut dirampas adalah 60 karton rokok jenama Canyon Premium 20 batang; 50 karton Surya 16 batang; 21 karton Surya 12 batang: 41 karton Nusantara Menthol Mild 12 batang; 11 karton D&J Ice Plus 20 batang dan sembilan karton Canyon Blast 20 batang,” katanya dalam kenyataan itu.

Antara jenis rokok yang dirampas adalah 100 karton rokok jenama JDB, 38 karton U2, 33 karton Canyon Menthol, 17 karton John Kelabu dan lapan karton John White.

Hasil siasatan awal mendapati suspek yang ditahan disyaki menjadi individu bertanggungjawab yang membekalkan rokok tidak bercukai ke kedai runcit sekitar kawasan Parit Raja.

Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967, katanya. — Bernama