Polis tahan lelaki tetak ibu bapa sampai maut


  • 112
  • Selasa, 05 Okt 2021

KEDUA-DUA mangsa maut di tempat kejadian pada Isnin. — Agensi
SEPASANG suami isteri warga emas maut dipercayai ditetak anak lelaki mereka dengan menggunakan parang di sebuah rumah di Kampung Kemahang Hulu, Benta, Kuantan, Pahang pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira 10.30 malam pada Isnin ketika suspek berusia 31 tahun itu dikatakan sedang berbual bersama bapa dan ibunya yang berusia 68 dan 64 tahun.

Ujar beliau, ibu suspek kemudiannya masuk ke dalam bilik meninggalkan suspek bersama bapanya yang berbual mengenai ilmu agama dan ketuhanan.

Suspek dipercayai secara tiba-tiba bertindak mengambil parang di dalam bilik lalu menetak dan menikam bapanya di bahagian kepala dan bahu.

"Ibu suspek yang melihat kejadian tersebut, pergi menghampiri suaminya untuk membantu namun suspek telah menyerang mangsa (ibu) dengan menetak dan menikamnya di bahagian leher serta kepala.

"Mangsa kemudian terus melarikan diri keluar dari rumah sebelum ditemukan rebah di atas tanah berhampiran pagar. Motif kejadian masih disiasat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Mohd Yusri, suspek yang tidak bekerja bertindak keluar rumah dalam keadaan berlumuran darah dan ditahan oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis.

Menurut beliau lagi, jenazah suami isteri itu dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat manakala suspek yang didapati positif dadah akan direman tujuh hari bermula Selasa bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — Majoriti