PRN Melaka: Keputusan SOP serah pada kerajaan, SPR


  • Primer
  • Jumaat, 15 Okt 2021

MUHYIDDIN bercakap kepada media selepas mesyuarat MPN kali keempat di Kuala Lumpur pada Jumaat.
KEPUTUSAN prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 untuk melaksanakan sebarang pilihan raya di negara ini diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, perkara berhubung SOP pilihan raya tidak dibincangkan sewaktu Mesyuarat MPN kali keempat pada Jumaat.

"Kita tak bincang tentang pilihan raya dalam mesyuarat dan kita serahkan kepada kerajaan serta SPR untuk membuat keputusan," jelasnya dalam sidang media selepas mesyuarat terbabit di Kuala Lumpur pada Jumaat.

SPR dijangka mengadakan satu mesyuarat khas berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Isnin hadapan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membuat keputusan berkenaan.

Keputusan tersebut dibuat selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengutuskan surat pembubaran kepada Tun Mohd Ali susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Empat bekas Adun terbabit adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Susulan itu, PRN perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari. — Majoriti

Muhyiddin Yassin, MPN, SPR, SOP, PRN Melaka