SPR buat mesyuarat khas PRN Melaka Isnin depan


  • Politik
  • Rabu, 13 Okt 2021

SULAIMAN pada 4 Oktober lalu mengambil langkah membubarkan DUN Melaka dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di Melaka. — Bernama

SATU mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 akan diadakan pada Isnin depan jam 10 pagi di Double Tree by Hilton Hotel, Melaka.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat khas tersebut yang dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh akan membincangkan tarikh-tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Melaka.

"Ini termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut.

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu mengambil langkah membubarkan DUN dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Pembubaran DUN Melaka itu dibuat selepas Sulaiman hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepimpinannya.

Keputusan pembubaran DUN itu dibuat selepas cadangan yang dikemukakan oleh Sulaiman mendapat kelulusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam. — Majoriti

Sulaiman, SPR, DUN Melaka