Dos penggalak beri perlindungan lebih lama — Kajian


  • Primer
  • Jumaat, 15 Okt 2021

DATA kajian Chinese Academy of Sciences, Peking University dan Sinovac Biotech mendapati dos ketiga boleh memberikan pelindungan vaksin lebih lama.

DOS penggalak Vaksin Covid-19 mampu merangsang dan meningkatkan antibodi peneutral individu untuk melawan jangkitan yang kini sudah makin berkembang dengan pelbagai varian.

Data kajian Chinese Academy of Sciences, Peking University dan Sinovac Biotech mendapati dos ketiga boleh memberikan pelindungan vaksin lebih lama.

Pengarah Kanan Perniagaan Luar Negara, Sinovac Biotech Co Ltd China, Weining Meng berkata, dos penggalak diberikan dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas dos kedua.

“Bacaan GMT enam bulan selepas dos penggalak adalah lebih tinggi berbanding catatan tertinggi dos kedua.

"Kajian turut menunjukkan antibodi berterusan yang tinggi dalam tempoh enam bulan selepas suntikan dos ketiga berbanding suntikan kedua.

“Ia turut membuktikan perlindungan lebih lama daripada dijangkiti virus Covid-19 dan pelbagai varian baharu yang muncul,” katanya menerusi webinar anjuran Pharmaniaga Bhd.

Setakat ini, Sinovac Biotech Co Ltd sudah pun membekalkan lebih 2 bilion dos CoronaVac ke seluruh dunia dengan 1.2 bilion digunakan di China dan baki 810 juta dibekalkan ke luar negara.

Dalam webinar sama, Pengarah Millennium Institute of Immunology and Immunotheraphy Chile, Prof Dr Alexis M Kalergis menjelaskan vaksin keluaran Sinovac nyata berkesan kepada penduduk di negara itu.

Malah Kalergis juga menyatakan dos penggalak adalah selamat dan menunjukkan peningkatan signifikan kepada antibodi peneutral terhadap kesihatan golongan dewasa.

“Keberkesanan dos penggalak adalah tinggi bagi vaksin Sinovac. Kesihatan masyarakat Chile juga mempunyai kesesuaian dengan vaksin ini, dimana ia turut menggunakan teknologi yang terbukti berkesan dalam platform virus ternyahaktif bagi penyakit sebelum ini seperti vaksin polio.

“Tidak ragu lagi vaksin lain yang mereka hasilkan mempunyai kredibiliti sama, bagaimanapun faktor utama adalah data yang lebih komprehensif dibuktikan berhubung respons imuniti menerusi Sinovac,” katanya. — Majoriti

vaksin, covid-19, sinovac