Perkhidmatan digitalisasi kesihatan mental perlu dibangunkan — Khairy Jamaluddin


  • Primer
  • Khamis, 14 Okt 2021

KHAIRY berharap langkah menyahjenayahkan bunuh diri akan segera menjadi realiti. — Bernama

PENGGUNAAN teknologi dalam perkhidmatan digitalisasi kesihatan mental perlu dibangunkan bagi memperluas jangkauan dan mempertingkat kualiti penjagaan kesihatan.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Malaysia akan melakukan lebih banyak pelaburan arah itu untuk memastikan penjagaan kesihatan mental sentiasa ada dan boleh diakses.

Kata beliau ia juga menerapkan kaedah baharu penyampaian perkhidmatan dalam bidang berkenaan.

"Sejak Januari hingga Julai 2021, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa terdapat 638 insiden bunuh diri berbanding 262 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

"Jumlah ini amat membimbangkan kerana peningkatan berganda kematian akibat bunuh diri juga melibatkan remaja berumur lingkungan 15 hingga 18 tahun dari tahun 2019 hingga 2020,” katanya.

Tambahnya lagi sehubungan dengan itu, rakyat perlu diberikan sokongan kesihatan mental yang secukupnya terutama semasa pandemik.

Beliau berkata demikian dalam rakaman ucaptama sempena pelancaran Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ‘The State of World’s Children 2021; On My Mind: Promoting, Protecting and Caring for Children’s Mental Health’ yang disiarkan secara langsung di laman Facebook UNICEF Malaysia.

Jelas Khairy lagi, kesedaran mengenai kesihatan mental bermula dari rumah dengan ibu bapa dan penjaga.

Katanya, golongan ini memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang selamat serta menyokong untuk anak mereka.

"Keluarga perlu mengetahui bahawa mereka tidak sendirian dan di peringkat tempatan, kesedaran mengenai kesihatan mental serta advokasi perlu diterjemah ke dalam bentuk tindakan segera, memperkasa komuniti dengan sokongan psikososial dan aktiviti kemasyarakatan.

"Pemimpin komuniti boleh dilatih untuk memberi bantuan dan merujuk kes kepada agensi yang relevan untuk mendapatkan sokongan profesional," ujarnya.

Hurai Khairy lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) menyokong usaha memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menganggap percubaan membunuh diri sebagai satu jenayah.

Menurutnya, penyahjenayahan bunuh diri akan mengurangkan stigma dan menggalakkan golongan yang terjejas untuk tampil mendapatkan pertolongan bagi menangani isu kesihatan mental mereka.

"KKM serta Kementerian Belia dan Sukan juga melakukan pelbagai usaha bagi menangani isu kesihatan mental yang meliputi program kaunseling, kempen kesedaran kesihatan mental serta sesi libat urus masyarakat.

"Pertubuhan bukan kerajaan dan organisasi masyarakat sivil turut berperanan menyebarkan kesedaran berhubung kepentingan kesihatan mental yang mempromosi pendekatan seluruh masyarakat," jelasnya.

Tambah Khairy lagi, beliau berharap langkah menyahjenayahkan bunuh diri akan segera menjadi realiti. — Majoriti