WHO syor dos penggalak untuk golongan bermasalah imun


  • Benua
  • Selasa, 12 Okt 2021

Menurut pakar WHO, dos ketiga vaksin virus tidak aktif Sinovac dan Sinopharm harus diberikan kepada mereka yang berusia lebih 60 tahun. — Reuters
PAKAR Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan dos penggalak vaksin Covid-19 diberikan kepada golongan yang mengalami masalah sistem imun terkompromi (keadaan sistem imun defektif) pada tahap sederhana dan teruk.

Selepas mengadakan perbincangan empat hari pada minggu lalu, Kumpulan Pakar Strategi Penasihat Imunisasi WHO (SAGE) mengesyorkan agar golongan itu menerima dos ketiga menggunakan salah satu vaksin dalam Senarai Penggunaan Kecemasan WHO (UEL) kerana mereka "cenderung untuk kurang menunjukkan tindak balas yang sepatutnya terhadap siri vaksinasi standard dan berisiko tinggi terkena penyakit Covid-19 yang teruk. "

Sejak akhir September, beberapa vaksin Covid-19 telah disahkan oleh Penyenaraian Penggunaan Kecemasan WHO, termasuk Pfizer-BioNTech, Janssen, Moderna, Sinopharm, Sinovac, AstraZeneca, dan Covishield.

SAGE mengatakan pihaknya juga telah mengkaji Covaxin, yang dihasilkan oleh Bharat Biotech di India, dan cadangan dasar akan dikeluarkan setelah vaksin berkenaan diluluskan oleh Penyenaraian Penggunaan Kecemasan UEL WHO.

Menurut pakar WHO, dos ketiga vaksin virus tidak aktif Sinovac dan Sinopharm harus diberikan kepada mereka yang berusia lebih 60 tahun.

Sementara itu, penggunaan vaksin heterologi (atau virus hidup) untuk dos tambahan juga boleh disyorkan berdasarkan pertimbangan bekalan dan akses vaksin.

"Semasa melaksanakan cadangan ini, negara-negara harus menyasarkan untuk memaksimumkan liputan dua dos kepada penduduk terlebih dahulu, dan kemudiannya memberikan dos ketiga, dimulakan dengan golongan paling berusia,” kata SAGE.

WHO sebelumnya telah meminta moratorium global untuk dos penggalak COVID-19, untuk memastikan pengedaran vaksin yang lebih adil di seluruh dunia bagi membolehkan setiap negara memvaksinasi sekurang-kurangnya 40 peratus daripada penduduknya.

Minggu lalu, WHO mengumumkan inisiatif untuk memvaksinasi 40 peratus penduduk setiap negara pada akhir 2021, dan 70 peratus pada pertengahan 2022. Langkah ini akan mengutamakan penghantaran vaksin ke negara berpendapatan rendah, terutamanya di Afrika. — Agensi

WHO, Covid-19, dos penggalak