PERSATUAN Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) menerima purata dua laporan kes jenayah berat terhadap haiwan setiap bulan.
Presiden Animal Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, kes penganiayaan terhadap haiwan dikira sebagai jenayah berat sekiranya melibatkan kematian dan kecederaan teruk terhadap haiwan berkenaan.
Jika dikira dari segi jumlah kes secara keseluruhan, katanya, sepanjang tahun lalu pihaknya menerima kira-kira 150 laporan melibatkan penganiayaan terhadap haiwan daripada orang ramai.
Arie berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan laporan daripada orang ramai yang melihat penganiayaan terhadap haiwan supaya pihak bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan
"Pada tahun ini, kami lihat ada penambahbaikan dari segi jumlah tangkapan yang dilakukan terhadap individu yang melakukan jenayah terhadap haiwan.
"Kami mahukan maklumat yang berkualiti dari orang ramai supaya mereka ini berjaya ditangkap dan dihukum sewajarnya," katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata demikian susulan tular satu video memaparkan aksi seorang individu menghempas seekor kucing ke lantai kaki lima yang berjaya di rakam televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah premis berhampiran Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pada Rabu.
Ketika ditanya sama ada pelaku sudah ditangkap, Arie memberitahu, pihaknya difahamkan polis telah berjaya mengenal pasti individu yang disyaki melakukan jenayah tersebut, tetapi masih memerlukan pengesahan daripada pengadu.
Arie merayu kepada pengirim video tersebut supaya berani tampil memberi keterangan kepada pihak polis untuk mengesahkan penjenayah tersebut.
Tambah Arie, kucing malang itu dilaporkan telah mati akibat kecederaan teruk selepas dihempas dengan kuat.
Dalam rakaman berdurasi 49 saat yang tular di media sosial sejak Rabu itu, seorang individu disyaki sedang berjoging menghempas seekor kucing ke lantai berkali-kali sehingga lemah dan tidak mampu bangun.