PARA penduduk Kota Bharu, Kelantan meluahkan rasa syukur apabila dapat kembali menunaikan solat Jumaat di masjid hari ini setelah sekian lama tidak berpeluang berbuat demikian susulan pandemik Covid-19.
Tinjauan di Masjid Muhammadi, Kota Bharu mendapati lebih 700 jemaah yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan masing-masing menunjukkan sijil digital lengkap vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera kepada petugas di pintu masuk masjid berkenaan.
Selain itu, kelihatan kedudukan antara para jemaah adalah berdasarkan penjarakan fizikal 1.5 meter malah sebelum memasuki perkarangan masjid tersebut, mereka juga membuat pemeriksaan suhu badan serta membawa sejadah sendiri bagi menunaikan solat Jumaat.
Seorang jemaah, Rozman Abdul Razak, 49, berkata, kebenaran yang diberikan itu perlu disambut baik oleh seluruh penduduk di Kelantan kerana selama ini bilangan jemaah untuk solat di masjid amat terhad.
"Kita perlu gunakan sepenuhnya kebenaran solat kali ini dengan baik dan laksanakan apa jua peraturan yang dikenakan sebaik mungkin," ujar Rozman yang berasal dari Kuala Krai.
Bagi Shaari Isyak, 63, suasana di masjid pada solat Jumaat kali ini berbeza apabila jemaah dibenarkan menunaikan solat mengikut kapasiti sebenar masjid.
"Sudah tentu saya gembira dan bersyukur kerana dapat ke masjid untuk solat Jumaat. Saya berdoa agar wabak Covid-19 segera berakhir supaya jemaah dapat menunaikan solat seperti biasa (di masjid)," katanya.
Sebelum ini, hanya empat jemaah termasuk imam dibenarkan menunaikan solat berjemaah dan Jumaat di masjid dan surau di negeri ini dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.
Kelantan yang kini dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) membenarkan had bilangan jemaah untuk menunaikan solat fardu lima waktu termasuk solat Jumaat mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musala di seluruh negeri itu. — Bernama