Mahkamah kekal keputusan batal saman terhadap Najib, Rosmah


NAJIB disaman bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua entiti lain berhubung satu urusan tanah yang menyebabkan kerugian besar seorang ahli perniagaan. — Sinar Harian

PEMBATALAN kes saman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Jumaat.

Najib turut disaman bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua entiti lain berhubung satu urusan tanah yang menyebabkan kerugian besar kepada syarikat ahli perniagaan tersebut.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim, diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang menolak rayuan J R Deepak Jaikishan.

Menurut hakim, rayuan yang dilakukan tiada merit kerana Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi telah mempertimbangkan secara terperinci setiap pliding dan isu-isu dalam membuat penemuannya.

“Kami mendapati penemuannya mengenai isu locus perayu (Deepak) dan kekurangan elemen utama dalam pliding yang dianggap oleh peguam perayu adalah betul dari segi undang-undang.

"Tiada sebarang pindaan yang dapat membetulkan kenyataan tuntutan Deepak," katanya.

Tambah Hanipah, mahkamah berpendapat tidak ada kekhilafan oleh Hakim Mahkamah Tinggi untuk membenarkan campur tangan rayuan.

Hanipah yang bersidang bersama Datuk Azizah Nawawi dan Datuk See Mee Chun memerintahkan Deepak membayar kos RM7,000 kepada Najib, Rosmah, Boustead Holdings Bhd dan anak syarikatnya, Bakti Wira Development Sdn Bhd.

Dalam prosiding rayuan yang dijalankan secara maya pada Jumaat, peguam, Magita Hari Mogan berhujah anak guamnya (Deepak) perlu diberi peluang untuk meminda penyataan tuntutannya. – Sinar Harian

Najib, Rosmah, saman, rayuan, batal