Lepas Rosmah, Najib juga mohon pasport dipulang sementara


NAJIB mahu bersama-sama isterinya, Rosmah untuk menemani anak perempuan mereka yang bakal bersalin di Singapura tidak lama lagi.
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat dilaporkan turut memfailkan permohonan supaya pasportnya dikembalikan sementara untuk bersama-sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor menemani anak perempuan mereka yang bakal bersalin tidak lama lagi di Singapura.

Perkara tersebut disahkan oleh peguam bela Najib, Nur Syahirah Hanapiah pada portal Malaysiakini Jumaat.

Ujar Nur Syahirah, pasukan pembelaan Najib memfailkan permohonan berkenaan ke Mahkamah Rayuan berikutan rayuan bagi sabitan kes Najob sedang dibicarakan di situ.

Tambah beliau, permohonan terbabit akan didengari pihak mahkamah pada Isnin depan.

Awal Jumaat, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Rosmah supaya pasport dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau ke Singapura untuk menemai anak perempuannya, Nooryana Najwa yang bakal melahirkan anak keduanya dalam tempoh dua minggu lagi.

Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah memberitahu mahkamah, anak perempuan Rosmah mempunyai sejarah komplikasi berisiko tinggi sewaktu bersalin dan pemohon amat diperlukan berada di sisi anaknya bagi tempoh sebelum, sewaktu serta selepas bersalin.

Mohamed Zaini kemudian membenarkan permohonan itu, dengan Rosmah perlu mengembalikan pasport pada atau sebelum 6 Disember 2021.

"Mahkamah membenarkan permohonan pemohon dan pasport dipulangkan pada 15 Oktober," kata Mohamed Zaini.

Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah untuk pulang ke Malaysia sebelum atau pada 21 November memandangkan beliau perlu menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebelum perbicaraan bersambung pada 8 Disember ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam tidak membantah permohonan tersebut selagi ia tidak mengganggu tarikh perbicaraan yang ditetapkan.

"Pihak pembelaan mesti mematuhi garis masa yang dipersetujui kerana kami tidak mahu perbicaraan ditangguhkan,” katanya.