'Kalau tak kerana helmet, kepala saya dah hancur'


  • Tular
  • Jumaat, 15 Okt 2021

Motorsikal dinaiki dua wanita ditahan JPJ kerana tidak memakai topi keledar.
JANGAN pandang remeh terhadap undang-undang pemakaian topi keledar kerana ia ditetapkan demi keselamatan penunggang dan pembonceng motorsikal itu sendiri.

Tidak kiralah sama ada melibatkan perjalanan yang dekat atau jauh, pematuhan undang-undang itu seharusnya menjadi keutamaan bagi setiap penunggang motorsikal.

Terbaharu, seorang pengguna Facebook, Muhammad Hafiz memuatnaik sebuah video yang memaparkan kejadian dua wanita yang ditahan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) gara-gara tidak memakai topi keledar.

Menurut Muhammad Hafiz, kejadian itu berlaku di Simpang Empat, Sungai Udang, Klang, Selangor.

Menerusi video berdurasi 19 saat itu, didapati salah seorang daripada anggota JPJ yang berada berdekatan dengan simpang empat lampu isyarat tersebut menghampiri motorsikal yang dinaiki dua wanita tanpa helmet.

Kedua-dua wanita tersebut terkejut apabila disergah anggota JPJ berkenaan sebelum kunci motorsikal mereka dirampas.

"Cak... mam***...tengok, kejap lagi abang tu tahan kakak pakai tudung tu.

"Jeng jeng... haa kan dah kena. Dia terus ambil kunci motor guys," kata seorang wanita yang merakam kejadian tersebut.

Kejadian seumpama ini bukanlah kali pertama berlaku namun masih ada penunggang motorsikal yang berdegil dan tidak mengambil iktibar.

Lagi pula, kedua-dua wanita terbabit sedang menggunakan jalan utama yang sesak dengan kenderaan yang lain dan ini sangat merbahaya.

Perkongsian video tersebut mendapat kritikal netizen yang rata-ratanya mahu hukuman setimpal diberikan terhadap kedua-dua wanita tersebut agar menjadi pengajaran buat segelintir penunggang motorsikal yang masih memandang remeh.

"Terbaik, bagi saya tiada kompromi kalau tak pakai helmet. Utamakan keselamatan.

"Ramai kawan-kawan saya excident koma beberapa hari sebab pemakaian helmet tak betul malah ada yang pergi bertemu Ilahi. Apa-apa pun utamakan keselamatan," kata Balya Alfi.

"Ramai yang tak sedar helmet tu boleh selamatkan nyawa. Saya dulu kemalangan motor dengan bas dan kalau tak kerana helmet, kepala saya dah hancur... kepala dah bawah tayar bas," kata Abe Jem. — Majoriti