TIDAK keterlaluan jika dikatakan bahawa kesedaran sivik rakyat Malaysia dalam menjaga kebersihan awam masih lagi di tahap rendah.
Jika dilihat di kawasan-kawasan awam seperti taman rekreasi, sampah masih lagi dibuang merata-rata oleh pengunjung yang tidak bertanggungjawab.
Baru-baru ini, tular sebuah video menunjukkan seorang wanita 'mengajar' pemandu kereta yang membuang sampah merata-rata di atas jalan raya.
Menurut wanita berkenaan melalui TikTok @sitisitieliza, dia melihat pemandu kereta jenama BMW itu membuang sampah keluar dari kenderaannya sebanyak dua kali.
"Jenis bebal. Kereta besar otak kecil! Padan muka hang. Tu sampah kedua hang buang tau dak? Pertama sebelum hang buang tu aku tengok ja. Ingat tak buang dah. Ehhh hang buang satu lagi rilek ja nohhh," kata wanita itu.
Atas rasa tanggungjawab, wanita itu turun dari keretanya dan pergi mengambil sampah tersebut sebelum mencampakkannya semula ke dalam kereta pelaku tersebut.
@sitisitieliza jenis bebal. kereta besaq otok kecek!
Rata-rata netizen memuji tindakan berani wanita itu dan berkata negara memerlukan lebih ramai orang yang bertanggungjawab sepertinya.
Minggu lalu, insiden sama turut berlaku di Shah Alam apabila seorang lelaki mengutip kotak rokok yang dibaling oleh seorang pemandu kereta di hadapannya dan mencampak sampah itu kembali ke dalam kenderaan pelaku dan memarahinya. — Majoriti