Meter motosikal pun jadi sasaran penjenayah


  • Tular
  • Khamis, 14 Okt 2021

TANGKAP layar menunjukkan suspek sedang berusaha mencabut meter daripada motosikal yang tular di media sosial. — Facebook
PANDEMIK yang melanda negara sejak awal tahun lalu jelas memberikan kesan kepada ramai orang hingga ada yang sanggup melakukan apa saja demi mendapatkan wang.

Ketika banyak ‘jalan’ yang boleh dilakukan untuk mendapatkan wang, masih ada yang sanggup melakukan kerja dengan cara salah.

Itu juga yang dapat disaksikan dalam satu video yang tular di media sosial pada Khamis menunjukkan seorang individu yang seakan bertugas sebagai penghantar makanan bertindak mencuri meter motosikal.

Tidak dapat dipastikan adakah benar individu berkenaan benar-benar bertugas sebagai penghantar makanan atau pun sekadar ‘lakonan’ untuk mengelirukan orang ramai.

Namun daripada video berdurasi 57 saat itu, suspek dilihat turut membawa satu box berwarna hijau seakan-akan bekas yang sering digunakan penghantar makanan.

Kejadian itu dikatakan berlaku di Blok F Taman Kosas, Ampang.

Menerusi video yang dikongsikan pengguna Facebook bernama Nor Fazlan di page Info Kemalangan Jalan Raya, dapat dilihat suspek mencabut meter sedikit demi sedikit sambil memantau keadaan sekitar.

Selepas usahanya mencabut meter berhasil, suspek segera memasukannya ke dalam box hijau sebelum bergegas meninggalkan lokasi kejadian.

Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti