Peras duit suami RM13,000, suri rumah mengaku tidak bersalah


TERTUDUH didakwa memeras suaminya dengan mengambil wang tunai mangsa berjumlah RM13,000 di sebuah hotel di Kota Bharu.

SEORANG wanita yang juga suri rumah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap suaminya sendiri di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, Kelantan pada Khamis.

Tertuduh, Alimi Wahidah Shamsul, 33, didakwa melakukan perkara itu dengan mengambil wang tunai mangsa berjumlah RM13,000 di sebuah hotel di Kota Bharu pada September.

Tertuduh membuat pengakuan itu dihadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Alimi Wahidah didakwa berniat jahat melakukan pemerasan terhadap Mat Yassin Junus, 60.

Dia melakukan perkara itu dengan cara mengambil wang tunai berkenaan sebagai cagaran sehingga membawa ketakutan kepada mangsa di sebuah hotel di Kota Bharu kira-kira 6.19 petang, 21 September lepas.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Nazuha Mohd Nasir menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Aryani Mohd Amin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon agar jumlah jaminan dikenakan tidak lebih RM2,000.

Mohd Amin membuat permohonan itu atas alasan tertuduh mempunyai dua anak yang masih bersekolah malah turut menjaga ibunya yang berusia 75 tahun dan uzur.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak menganggu saksi pendakwaan dan perlu melapor diri di balai polis Kota Bharu pada setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula kes pada 19 Disember depan. — Majoriti