AKTIVITI penyeludupan di kawasan Pengkalan Haram Syed Agil, Kelantan berjaya dipatahkan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) hasil rondaan menggunakan dron pada Rabu.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan jam 8 malam itu, pihaknya mengesan sekumpulan lelaki sedang memunggah bungkusan barangan dalam keadaan mencurigakan.
"Menyedari kehadiran anggota PGA, kesemua lelaki tersebut bertindak melarikan diri ke negara jiran dengan menyeberangi sungai.
"Pemeriksaan di kawasan sekitar mendapati terdapat satu perahu yang berisi pelbagai jenis barang kontraban di tebing Sungai Golok," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemui 28 helai pelbagai jenis pakaian bernilai RM2,700 dan kelengkapan tidur sebanyak 35 unit bernilai RM1,500.
Azhari berkata, pihaknya mengesyaki kesemua barang tersebut diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan.
Katanya, kesemua barang tersebut dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti