Bahaya tunggang unicycyle di lebuh raya


  • Tular
  • Rabu, 13 Okt 2021

INDIVIDU itu dilihat menaiki unicycle tersebut melalui jalan arah ke Cheras dan Kuala Lumpur bersebelahan susur keluar ke Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Selangor. — Facebook

KELIBAT seorang pengguna unicycle elektrik di sebuah lebuhraya Cheras - Kajang arah Kuala Lumpur menjadi bualan hangat di media sosial pada Rabu.

Perkara itu dikongsi oleh pemilik akaun media sosial Facebook, Muhammad Syahidan yang memuat naik beberapa keping gambar seorang pengguna lebuh raya yang menaiki skuter elektrik satu tayar tersebut.



MUHAMMAD Syahidan berkongsi kebimbangan terhadap penggunaan unicycle elektrik di lebuh raya pada Selasa. — Facebook

Berdasarkan gambar, individu itu dilihat menaiki unicycle tersebut melalui jalan arah ke Cheras dan Kuala Lumpur bersebelahan susur keluar ke Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Selangor.

Tulisnya pada status berkenaan, dia melihat kejadian itu depan matanya sendiri dan menyatakan kebimbangan bahawa apa yang dilakukan individu berkenaan berbahaya dan boleh mengundang kemalangan.

"Berlaku di depan mata saya, macam ini pun boleh.

"Bahayalah, ini lebuh raya bukan taman. Mohon jangan buat begini jika terlanggar akan jadi masalah pada diri sendiri dan orang lain," tulisnya.



ANTARA gambar yang dikongsi Muhammad Syahidan dalam hantaran Facebooknya. — Facebook

Rata-rata pengguna Facebook lain juga bersetuju dengan pandangan Muhammad Syahidan dan pada masa sama mengkritik tindakan individu itu.

Secara logiknya, penggunaan unicycle elektrik tidak sesuai untuk dinaiki ketika melalui lebuhraya tambahan pula dikategori sebagai Kenderaan Mikromobiliti.

Malah, peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 turut menggariskan tindakan terhadap individu yang melakukan kesalahan menggunakan skuter elektrik di atas jalan raya atau kawasan selain yang digazetkan di ibu negara.

Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 54, APJ 1987 dengan kesalahan pertama didenda sebanyak RM300 dan kesalahan kedua pula boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara tiga bulan.

Majoriti turut menyemak Facebook Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, namun belum ada sebarang kemaskini terbaharu berhubung perkara berkenaan.

Terdahulu, bekas Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya turut berkongsi bahwa penggunaan skuter elektrik hanya dibenarkan di tempat yang digazetkan seperti di taman-taman permainan, kawasan pejalan kaki dan kawasan sekitar pusat beli-belah di ibu negara.

Beliau berkata demikian susulan larangan penggunaan kenderaan berkaitan di kawasan selain yang digazetkan bermula 1 Januari 2021. — Majoriti

Unicycle, lebuhraya, Cheras, Kuala Lumpur, bahaya