GARA-GARA gangguan bekalan air selama empat hari di Lembah Klang mulai Rabu, orang ramai dilihat berpusu-pusu mendapatkan tong air bagi menyimpan bekalan untuk kegunaan harian.
Permintaan tinggi daripada pelanggan menyebabkan tong air khususnya tong simpanan berkapasiti besar yang boleh menampung kira-kira 160 dan 120 liter air habis terjual.
Situasi mendesak itu menyebabkan orang ramai khususnya penduduk Lembah Klang yang sering berdepan masalah ketiadaan air berfikir di luar kotak dengan menggunakan pelbagai bekas termasuk kotak plastik untuk menyimpan air.
Paling mencuri perhatian apabila ada netizen menggunakan kolam renang kembung (inflatable) untuk menadah air sebagai bekalan.
Seorang pengguna Facebook, Abdul Hadi Jainal tidak segan memuat naik gambar kolam renang kembung yang diisi air sebagai kaedah alternatifnya menghadapi gangguan bekalan air yang dijangka itu.
"Tong air naik harga, itu masalah tong air, bukan masalah saya," tulisnya sebagai kapsyen kepada gambar tersebut.
KOLAM renang kembung yang digunakan untuk menadah air.
Seorang lagi pengguna, Azi Izra turut berkongsi kaedah sama dengan menggunakan dua kolam renang kembung.
"Pakai ini sahaja tadah air," tulisnya ringkas.
Sementara itu, Sharifah Haya pula menggunakan kolam mudah alih jenis besi untuk menadah air sebagai bekalan hariannya sekeluarga.
"Bolehlah untuk mandi-mandi tapi risau juga anak terjun dalam tu," katanya.
TANGKAP layar komen bergambar yang menunjukkan kreativiti netizen menyimpan air di dalam kolam renang.
Sebanyak 998 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang dijangka akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula Rabu.
Tujuh wilayah itu melibatkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
Gangguan itu ekoran pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1. — Majoriti