‘Macam-macam boleh buat dalam 22 bulan tapi dirosakkan pula’


  • Politik
  • Selasa, 12 Okt 2021

KIT Siang menggesa kerajaan agar menubuhkan jawatankuasa khas untuk siasat dua lagi kes kematian misteri.

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Samad menempelak kenyataan Lim Kit Siang yang mahukan jawatankuasa khas yang menyiasat kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim supaya menyiasat dua lagi kes kematian misteri.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, pasukan berkenaan perlu menyiasat kematian Teoh Beng Hock dan Altantuya Shaariibuu bagi mengelakkan kerajaan mengamalkan amalan dua darjat.

“Kita tidak boleh biarkan sesiapa pun mempunyai sebarang keraguan mengenai nilai kehidupan manusia di Malaysia.

“Dan perlu ada mesej jelas bahawa tiada agensi kerajaan atau mana-mana orang kenamaan yang boleh mengecilkan nyawa manusia di negara ini dan bahawa Malaysia memandang serius perkara berkenaan kedaulatan undang-undang,” kata Kit Siang.

Membidas perkara itu, Shahrir kesal apabila veteran DAP itu kembali dengan sikap lamanya iaitu menghasut selain menjadikannya sebagai prinsip perjuangan.

“Bukankah berkuasa sebagai pemerintah selama 22 bulan. Macam-macam boleh dibuat untuk jadikan ‘Malaysia Baru’ tapi dirosakkan pula.

“Kerana hati tu busuk, penuh dengan dendam, janji tertinggal di tepi jalan. Balik jadi pembangkang. Balik menghasut,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Terdahulu, kerajaan menerusi mesyuarat Kabinet pada Jumaat menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap Allahyarham Muhammad Adib.

Pada 27 November 2018, Muhammad Adib mengalami kecederaan parah semasa kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya dan dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara pada 17 Disember tahun sama.

Pada masa sama, Teoh Beng Hock dilaporkan meninggal dunia secara misteri di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009.

Altantuya pula adalah wanita warganegara Mongolia yang dilaporkan hilang oleh sepupunya pada 19 Oktober 2006 ketika melawat Malaysia dan turut dilaporkan mayatnya ditemui selepas diletupkan di kawasan hutan di Puncak Alam, Selangor. — Majoriti