Sulaiman ketuai kerajaan sementara Melaka


  • Primer
  • Isnin, 11 Okt 2021

SULAIMAN akan dibantu oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang sedia ada. — ONG SOON HIN/The Star.
KERAJAAN sementara Melaka diketuai Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan dibantu oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang sedia ada kecuali mereka yang telah meletak jawatan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Kamel Mohamad.

Jelasnya, walaupun Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntukkan secara khusus mengenai fungsi dan peranan kerajaan sementara, namun berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel, ia hanya berfungsi untuk mentadbir sesebuah negara atau negeri sehingga satu kerajaan baharu dibentuk.

"Dalam hal ini, kerajaan sementara tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam.

"Bagi maksud itu, kerajaan sementara boleh mengambil tindakan-tindakan iaitu menjalankan tugasan rasmi rutin, termasuk menjalankan kuasa yang diberi di bawah undang-undang bagi memastikan jentera kerajaan negeri berfungsi; mengadakan mesyuarat rasmi berhubung urusan pentadbiran kerajaan negeri.

"Meneruskan pelaksanaan dasar dan program sedia ada iaitu peruntukan kewangan baginya telah disediakan; membuat apa-apa perjanjian, kontrak dan aku janji yang mana dasar telah diluluskan oleh kerajaan negeri atau peruntukan mengenainya telah diluluskan oleh DUN seperti Belanjawan tahun semasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pembentukan kerajaan sementara itu adalah susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam pada 4 Oktober lepas.

Ia berikutan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman, yang mengetuai kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN).

Menerusi kenyataan berasingan, Kamel menafikan terdapat campur tangan pihak ketiga dalam urusan dan keputusan yang dibuat oleh MMKN seperti yang didakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai, Udang Datuk Seri Idris Haron memandangkan ia adalah muktamad dan keputusan bersama.

"Merujuk kepada dakwaan khusus bahawa terdapat campur tangan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) dan dakwaan keputusan MMKN perlu dirujuk kepada pihak ketiga sebelum dilaksanakan, pentadbiran kerajaan negeri Melaka menafikan dakwaan tersebut," katanya. — Majoriti