'Ramai masih tunggu harga kit ujian Covid-19 turun lagi'


  • Massa
  • Khamis, 14 Okt 2021

PERMINTAAN terhadap kit ujian kendiri dijangka meningkat susulan kebenaran merentas negeri berkuat kuasa Isnin lepas. — The Star

DI sebalik permintaan tinggi pelanggan terhadap kit ujian kendiri Covid-19 bagi kegunaan sebelum melancong dan merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, masih ramai sebenarnya yang tertunggu-tunggu pengumuman kerajaan berhubung harga siling baharu yang lebih rendah.

Buat masa ini, harga runcit bagi kit ujian kendiri ialah RM19.90 manakala harga borong ialah RM16.

Seorang ahli farmasi yang mahu dikenali sebagai Lim, 42, berkata, pihaknya menjangkakan permintaan terhadap kit ujian kendiri akan melonjak apabila kerajaan menarik balik sekatan rentas negeri, namun ia tidak berlaku sedemikian.

"Mungkin orang ramai kini sedang menunggu pengumuman kerajaan untuk merendahkan paras harga siling kit ujian ini sebelum mereka membeli untuk kegunaan ketika kecemasan dan sebelum mengembara," katanya seperti laporan The Star.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, paras siling harga kit ujian kendiri Covid-19 dalam pasaran dijangka dapat diturunkan mulai November.

Katanya, ketika ini, pihak kementerian sedang membuat penilaian di peringkat industri, sebelum menentukan paras siling harga borong dan runcit baharu.

Sementara itu, seorang lagi ahli farmasi, Nur Ermalina Jadi @ Mohd Faiz berkata, penjualan kit ujian kendiri itu dijangka meningkat menjelang hujung minggu ini berikutan ramai yang mengambil peluang pulang ke kampung halaman susulan kebenaran merentas negeri berkuat kuasa Isnin.

"Kita jangka lebih ramai orang akan membeli kit ujian ini menjelang hujung minggu memandangkan mereka mempunyai masa selepas kerja untuk memulakan perjalanan merentas negeri," katanya.

Nur Ermalina, 30, berkata, farmasi tempatnya bekerja menjual antara 70 hingga 80 kit ujian kendiri Covid-19 dalam tempoh seminggu.

"Buat masa ini, kebanyakan pelanggan yang membeli kit ujian ini dalam kalangan individu yang mahu menggunakan pengangkutan udara atau mereka yang perlu menjalani ujian sebelum masuk kerja.

"Ada juga yang membelinya sebagai langkah berjaga-jaga bertujuan melindungi diri," tambahnya sambil memberitahu bahawa bekalan kit ujian kendiri itu mencukupi dan farmasi tidak berdepan masalah untuk mendapatkan stok. — Majoriti