Lupus kit ujian kendiri Covid-19 secara selamat


  • Massa
  • Jumaat, 08 Okt 2021

MOHD Zahir berkata, sekiranya kit ujian kendiri Covid-19 tidak dilupuskan mengikut SOP, ia akan memberi risiko kepada orang ramai dan pekerja yang menjalankan kerja perkhidmatan pengurusan sisa pepejal. —Bernama

PERBADANAN Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan menggesa orang ramai melupuskan kit ujian kendiri Covid-19 yang telah digunakan secara selamat dan teratur bagi mengelak risiko penularan jangkitan wabak berkenaan.

Pengarahnya Mohd Zahir Shari berkata, sekiranya perkara itu dilakukan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, ia akan memberi risiko kepada orang ramai dan pekerja yang menjalankan kerja perkhidmatan pengurusan sisa pepejal.

"Kita nasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membuang kit ujian kendiri Covid-19 itu merata-rata. Mereka perlu ikut panduan yang disediakan termasuk masukkan kembali dalam plastik dan dibungkus elok serta dibuang ke dalam tong sampah selain melupuskan sisa berkenaan mengikut prosedur yang betul," katanya pada sidang media di Seremban, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Beliau berkata pihaknya turut mempergiatkan semula kempen membuang sampah ke dalam tong sampah bagi meningkatkan kesedaran amalan kebersihan kepada masyarakat.

Menurutnya SWCorp mengedarkan poster kempen kesedaran itu kepada setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk bersama-sama berkongsi dengan masyarakat agar menjadi lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan. —Bernama

kita kendiri, Covid-19,