ANAK jati Kelantan atau pun mana-mana pelancong yang ingin memasuki negeri itu dinasihatkan supaya melakukan ujian kit kendiri Covid-19.
Saranan itu dibuat bagi mengelak berlaku penularan dan setiap individu harus menjaga diri masing-masing.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, semua orang tidak boleh alpa dan harus waspada dengan keselamatan diri masing-masing.
"Jangan lupa, rentas negeri kena ada dua dos. Cuma saya sarankan supaya guna kit kendiri walaupun tidak wajib supaya tidak bergejala semasa berjumpa ibu bapa dan keluarga.
"Kita hidup dalam keadaan endemik ini memang macam inilah. Kena jaga diri masing-masing," katanya
Mengulas mengenai kadar vaksinasi penduduk di negeri itu, Ahmad menjelaskan yang 74 peratus dewasa sudah pun disuntik dan menjangkakan imuniti kelompok akan dapat dicapai pertengahan November ini. — Sinar Harian