Persatuan hotel kecewa isu gangguan bekalan air di Lembah Klang


  • Massa
  • Sabtu, 09 Okt 2021

PIHAK hotel terpaksa menyewa 10 buah lori air yang bernilai RM3,500 setiap satu akibat gangguan bekalan air. — Gambar hiasan/Agoda

NEGERI Selangor yang kerap mengalami gangguan bekalan air sejak sekian lama sememangnya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk.

Ini ditambah pula keperluan asas itu sangat penting bagi kelangsungan hidup termasuk minuman, kebersihan diri serta perniagaan.

Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor Datuk Amirudin Shari pada Rabu berkata, penduduk di negeri itu akan mengalami gangguan bekalan air pada 13 Oktober disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan oleh Air Selangor.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna di Selangor untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan merujuk laman hentitugas.airselangor.com bagi mendapatkan maklumat berkaitan.

"Kerja-kerja ini tertangguh sejak tahun 2019 dan penting bagi mengelakkan kejadian yang tak diingini seperti kebocoran paip SSP 1 pada tahun lalu," katanya.

Memberi respon mengenai perkara itu, Shaharuddin M Saaid berkata, para pengusaha hotel turut menyatakan rasa tidak senang dan tidak bersetuju dengan gangguan bekalan air itu.

Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) itu berkata, gangguan itu berlaku tatkala perniagaan dan pelancongan hotel baru sahaja memulakan dan menikmati perniagaan selepas tidak dibenarkan beroperasi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, perkara itu bukan sahaja menyebabkan kesulitan hotel dalam melayani tetamu, malah kos perbelanjaan operasi yang tidak diperlukan turut meningkat.

“Mereka menyatakan mengapa ia tidak dilakukan ketika hotel tidak dibenarkan beroperasi ketika penutupan yang lama kerana PKP,” katanya.

Katanya, sebuah hotel di Kuala Lumpur yang mempunyai 200 hingga 300 buah bilik memberitahu, bahawa mereka terpaksa menyewa 10 buah lori air yang bernilai RM3,500 setiap satu akibat gangguan itu.

“Ini adalah kos yang besar untuk hotel ketika mereka tidak mempunyai perniagaan dan pendapatan untuk jangka waktu yang lama.

“Adalah sangat tidak wajar dan tidak mesra perniagaan untuk Air Selangor melakukan tindakan ini dan waktunya juga tidak sesuai,” katanya. — Majoriti

hotel, gangguan air, MAHO