Kehilangan Pulau Batu Puteh ke Singapura, Tun M harus bertanggungjawab


  • Politik
  • Rabu, 13 Okt 2021

MAHATHIR menarik balik permohonan semakan kes Pulau Batu Puteh pada 2018 kerana berpendapat ia tidak boleh dimenangi serta kos rayuan yang tinggi. — Gambar fail/The Star
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad harus bertanggungjawab atas kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mempersoalkan keputusan Mahathir untuk merujuk pertikaian ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang dilakukan ketika beliau menjadi Perdana Menteri keempat.

"Mahathir mesti menjawab persoalan mengapakah perkara itu dirujuk secara bersama ke ICJ ketika pertikaian ini dapat diselesaikan melalui jalan alternatif secara diplomatik.

"Oleh kerana Singapura terus memperoleh banyak keuntungan dari hubungan jangka panjangnya dengan Malaysia, kelebihan seperti itu seharus dapat dimanfaatkan untuk menjadikan pulau itu miliik Malaysia melalui perbincangan secara diplomatik," katanya dalam hantaran Facebook pada Rabu.

Jelasnya, keputusan mahkamah memihak kepada Singapura bukan disebabkan negara itu memiliki tuntutan sejarah yang kuat terhadap pulau tersebut, tetapi kerana mereka melantik pasukan perundangan yang lebih baik dan kompeten.

"Saya diberitahu bahawa walaupun Malaysia mempunyai bukti sejarah yang kuat dan mungkin telah dapat memenangi pulau itu tetapi fakta yang dikemukakan tidaklah tepat dan kurang kompetensi.

"Mahathir harus menjawab untuk kegagalan besar ini. Dia tidak boleh cuba menyalahkan orang lain, sesuatu yang biasa dilakukannya sekiranya ada yang tidak kena," tegasnya.

Ketika menjadi Perdana Menteri ketujuh, kata Ramasamy, Mahathir sekali lagi 'tersilap langkah' apabila tidak membuat rayuan atas keputusan ICJ sebelumnya.

"Mahathir dinasihatkan dan dikelirukan bahawa Malaysia tidak berpeluang memenangi rayuan dan bahawa kos rayuan itu terlalu tinggi. Mahathir mempunyai peluang, tetapi sekali lagi dia melepaskan peluang keemasan itu.

"Ia tidak terserah kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Mahathir untuk memutuskan sendiri bahawa mereka tidak memiliki kesempatan sama sekali sekiranya membuat rayuan. Mereka seharusnya menyerahkan keputusan rayuan untuk diputuskan oleh ICJ atau Mahkamah Rayuan," katanya.

Menurut Ramasamy, walaupun berat hati untuk mengakui, beliau bersetuju dengan kenyataan bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak yang menyalahkan kerajaan PH atas kegagalan mengambil semula pulau itu.

Najib dalam hantaran Facebook pada Selasa, bertanya siapakah yang menasihati kerajaan PH supaya menarik balik permohonan semakan kes berkenaan pada pada 28 Mei 2018 yang sebelum itu dilakukan oleh kerajaan pimpinannya pada Februari 2017. — Majoriti