BENARLAH kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye bahawa sikap gemar membuang sampah merata-rata di tempat awam dalam kalangan segelintir masyarakat menunjukkan kesedaran sivik yang buruk.
Perkara ini dibuktikan apabila seorang pemandu Myvi yang bertindak membuang sampah merata-rata membawa padah apabila dia dimarahi oleh pengguna jalan raya lain.
Menerusi video berdurasi 22 saat yang tular di laman Facebook itu, pemandu kereta berwarna jingga itu mengambil kesempatan membuang sampah dipercayai kotak rokok di jalan raya melalui tingkap apabila keretanya berhenti ketika berada di lampu isyarat merah.
Dia kemudiannya didatangi oleh seorang lelaki dari arah belakang yang mengutip sampah tersebut, sebelum mencampakkannya semula ke dalam kereta pelaku berkenaan serta memarahinya.
Tidak dapat dipastikan lokasi dan masa kejadian namun menurut netizen, kejadian itu berlaku di Shah Alam, Selangor.
Lam Thye sebelum ini berkata, sikap gemar membuang sampah merata-rata perlu diubah kerana perbuatan tidak bertanggungjawab itu mengundang pencemaran alam sekitar.
Katanya, pencemaran alam sekitar masih boleh dikawal sekiranya anggota masyarakat lebih prihatin tentang alam persekitaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram