Tiga lelaki didakwa 'kantoi' kongsi status vaksin MySejahtera


  • Tular
  • Selasa, 12 Okt 2021

Menerusi foto tersebut, tiga-tiga pemuda itu dilihat sedang memegang telefon pintar dan didakwa bertukar-tukar nombor.
BIARPUN kebenaran merentas negeri hanya diberikan kepada mereka yang telah lengkap dua dos vaksin, namun tidak dinafikan masih ada dalam kalangan rakyat di negara ini masih berdegil dan mengambil kesempatan terhadap kelonggaran tersebut.

Tindakan seperti ini mengundang kegelisahan terhadap sesetengah rakyat yang bimbang jangkitan Covid-19 akan kembali meningkat gara-gara pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menerusi satu ciapan di Twitter, seorang penggunanya bernama @Nhaziqah_n berkongsi sekeping foto yang memaparkan empat lelaki yang mana tiga daripadanya sedang memegang telefon pintar masing-masing.

@Nhaziqah_n mendakwa ke tiga-tiga pemuda itu sedang bertukar-tukar nombor telefon untuk berkongsi status vaksin menggunakan aplikasi MySejahtera.

"Saya lihat mereka log in MySejahtera dan saling bertukar nombor orang yang lengkap dos vaksin walaupun mereka belum lengkap atau tidak divaksin.

"Tindakan ini akan akan memberi kelebihan untuk mereka menlanggar SOP dan akan terus menjadi penyebar. Tolong jangan pentingkan diri sendiri!," tulisnya.


Dalam ciapan sama, @Nhaziqah_n turut meminta perhatian daripada, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Perkongsian itu juga telah mendapat pelbagai reaksi pengguna Twitter yang turut menyatakan kebimbangan mereka terhadap tindakan tiga pemuda tersebut selain memberikan pendapat penambahbaikan aplikasi MySejahtera.

"Kan bagus kalau status vaksin boleh link dengan kad pengenalan. Tap je macam kad debit atau Touch n Go, terus keluar status kita," kata @maejaaaa.

"Kerajaan patut gunakan kad pengenalan untuk kesan status vaksin. Itu lebih tepat dan efisyen... nak tipu pun susah. Tolong gunakan idea ini. Tak perlu pun kad baharu atau aplikasi baharu di telefon pintar. Puak ini akan lebih bijak dari Pablo Escobar untuk menipu," kata @jgtisjfs.

"Saudara terdekat saya yang merupakan antivaksin juga buat perkara sama dan ia sangat berbahaya," kata @nurulhanin4. — Majoriti

MySejahtera, Covid-19, vaksin, telefon pintar